Apakah yang patut dilakukan sekiranya terdapat rakan yang tidak sensitif terhadap perasaan anda setiap kali dia menyatakan sesuatu? Ataupun rakan yang sering tunjuk-menunjuk kehebatannya berbanding dengan orang lain?
Inilah masalah yang saya hadapi kebelakangan ini.
Kadang-kadang, perkataannya menimbulkan rasa marah dan tersinggung, namun saya cuba memendamkannya di hati. Tidak berani meluahkan perasaan yang sebenar. Sentiasa mengingatkan diri supaya sabar bertahan, rendah diri, murah hati dan bertolak ansur terhadap rakan ini. Mungkinkah dia yang tidak sedar akan implikasi perkataannya? Mungkinkah saya yang angkuh sampai perkataan-perkataan sebegini mudah menyebabkan hati terluka? Ah, saya pun kurang pasti. Mungkinkah rakan ini sebenarnya kurang berkeyakinan diri dan oleh itu, menonjolkannya dengan tidak sengaja dalam percakapan...sampai menyinggung perasaan orang yang lain? Kadang-kadang, saya juga berbelas kasihan terhadapnya - kerana tidak mempunyai ramai kawan. Risau juga apabila melihat segelintir orang sahaja yang sanggup bergaul dengannya. Itupun bukanlah persahabatan yang boleh dikira erat ataupun betul-betul ikhlas. Ada sesiapa di antara mereka yang akan membantunya, jikalau dalam kesusahan? Ada sesiapakah yang berupaya hidup dalam kesepian?
Apakah yang patut saya lakukan sebagai seorang rakan? Adakah memadai sekiranya saya hanya berdoa mengenai perkara ini? Saya memang tidak mahu melukai perasaannya. Apakah cara yang terbaik untuk menghadapinya tanpa menimbulkan perselisihan faham? Maklumlah, saya tidak mahir menyelesaikan konflik. Sekiranya tanggapan saya benar dan dia tidak berkeyakinan diri, dapatkah suatu perbincangan mudah mengatasi masalah ini sekaligus? Atau mungkinkah masalah ini bertambah rumit? Mungkinkah dia menganggap saya sebagai penyibuk dan tidak mahu meneruskan persahabatan kami?
Bagaimanakah saya harus mendorongnya?
Tuhan memang menyeru umat-Nya agar merendahkan diri dan setia mengasihi orang yang lain, biarpun musuh. Biarpun orang yang menyusahkan kita. Beranikah kita mengakui bahawa kita mengasihi Tuhan, jikalau kita tidak dapat memaafkan dan mengasihi saudara/saudari sendiri?
Kasih itu sabar, kasih itu murah hati, ia tidak cemburu.... Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan ataupun mencari keuntungan diri-sendiri. Ia tidak pemarah dan menyimpan kesalahan orang lain. Ia tidak bersukacita kerana ketidakadilan tapi kerana kebenaran. Ia menutupi segala sesuatu, percaya segala sesuatu, mengharapkan segala sesuatu dan menanggung segala sesuatu. Demikianlah tinggal ketiga-tiga hal ini: iman, pengharapan dan kasih.... yang paling besar di antaranya adalah kasih. Inilah yang terkandung dalam petikan 1 Korintus 13 yang dikenali ramai tu.
Tuhan, saya berdoa agar Engkau memberkati persahabatan kami. Berikanlah saya kekuatan dan kebijaksanaan agar saya dapat menghadapi cabaran ini dengan tabah. Saya tidak bermaksud menyimpan perasaan dengki dan dendam terhadap rakan ini - namun saya sering terasa keberatan untuk menyapanya... Tambahan lagi kurang mempedulikan keperluan rakan ini. Saya sedar akan segala silap dan kesalahan saya, dan meminta bantuan agar saya dapat terus bersabar, berbelas kasihan dan bertimbang rasa terhadap rakan ini. Malah mengasihinya dengan ikhlas dan suka cita. Dalam nama Yesus, amin.
Wednesday, April 14, 2010
Dilema...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment